KUCHING: Sistem lampu isyarat di Bulatan 5 di sepanjang Jalan Setia Raja/Stutong kini mula beroperasi.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan pengaktifan awal sistem lampu isyarat tersebut, beliau berharap ia dapat melancarkan aliran trafik di kawasan tersebut terutama pada waktu puncak.
"Bagaimanapun, walaupun dengan pengaktifan awal sistem lampu isyarat tersebut, orang ramai diingatkan memandu dengan berhati-hati kerana tapak di sepanjang Lebuh raya Kuching-Samarahan masih dalam pembinaan," katanya semasa menghadiri majlis perasmian pelancaran persimpangan lampu isyarat tersebut, di sini, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, pelaksanaan Projek Lampu Isyarat Di Kuching Samarahan Expressway mencapai kemajuan sebanyak 55 peratus setakat ini, lebih awal dari jadual asal.
"Saya ingin memuji kerja keras dan komitmen kontraktor dalam menyelesaikan tugas walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan beberapa minggu lalu," ujarnya.
Sumber dari : Jiwa Bakti